Dunia semakin Tua?
Badan sudah mula terasa sakit-sakit. Angin musim syitaa' sudah lama menyapa membuatkan tubuh-tubuh lemah mengadu sengal. Perubahan cuaca yang tak menentu di Ardul Kinanah seakan-akan sedang bermain hide-and-seek dengan penduduk nil. Akhirnya, kelihatan orang memakai sweater tebal di tengah terik matahari dan hanya sehelai sepinggang bila angin bertiup menderu. Perubahan cuaca.....semuanya kuasa Allah!
Bila tiba musim syitaa', pelajar-pelajar mula panas punggung. Imtihan Fasl Awwal sedang melambai-lambai di hujung sana. Dakatir bertungkus-lumus menghabiskan muqorror sebelum anak-anak muridnya layak menduduki ujian. Kami pula tercungap-cungap menyambut butir-butir perkataan dakatir untuk disumbat dan dilumat-lumat ke dalam kotak fikiran. Pengambilan secara excessive. Namun, tiada pilihan lain. Sunnah menuntut ilmu memang begitu. Tiada istilah 'goyang kaki' bila sudah memilih untuk berada di jalan ini.

Manusia bila mengisi hati dengan syahwat ia tidak ubah seperti haiwan :'(
Setiap hari soalan yang sama akan mengasak fikiran. Minda jadi kusut. Damai hati berkocak. Masa depan begitu menyeramkan. Mungkin, lebih seram dari cerita hantu Ju-On yang disiarkan di kaca tv. Ahhhhh, sibuk benar menanti masa hadapan sedangkan hakikat kehidupan adalah sekarang. Kehidupan itu bukan di masa hadapan. Kehidupan itu adalah yang sedang kamu lalui sekarang, Nur!
Dunia saya lihat semakin tua. Namun, tuanya dunia tidak seperti tuanya manusia. Manusia semakin tua semakin lemah. Manakala dunia semakin tua, semakin bertenaga. Erm.. atau dunia sebenarnya juga sudah lemah cuma lahiriyyahnya sahaja yang menggambarkan sebaliknya? Jika dunia dilukis diatas kanvas, pastinya tidak jelas lagi lukisannya. Sudah luntur warna dek dimamah zaman. Sudah ada banyak tangan yang melekat atas lukisan sehinggakan kanvas bukan lagi gambar lukisan dunia, tapi hanya berupa cap-cap tangan yang kotor. Dunia jadi 'haus' juga 'kotor' angkara tangan manusia itu sendiri.
Mungkin, boleh juga disimpulkan bahawa keletah dunia sudah menaik-taraf kepada 'man-made' lantaran semakin hilang dan pupus manusia yang bersifat robbaniy. Manusia yang bersifat dengan sifat manusia itu lebih banyak dari manusia yang bersifat dengan sifat Allah.
Melihat helaian artikel ataupun akhbar dan membacanya sebiji-sebiji butiran perkataan yang temaktub hanya membuatkan bulu roma meremang. Cukup menyeramkan. Semakin banyak kerosakan yang berlaku sehinggakan kerosakan itu ditelan bulat-bulat dengan rasa nikmat. Membuat rosak sudah jadi adat. Kita bimbang dengan kebobrokan akhlak manusia sekarang tapi semakin bimbang, semakin menjadi-jadi.
Penuntut ilmu agama memainkan peranan dalam menangani isu sebegini. Mereka harus turun padang menggalas tanggungjawab agamawan yang semakin meningkat senja. Pembawa risalah wahyu perlu ada pelapis. Inilah manhaj wahyu ilahiy yang masih 'hidup' meski sudah bertahun-tahun ia diturunkan. Namun sayangnya, kesedaran ini hanya sampai pada hati tapi mati dari segi amaliy.
Bagaimana nak mendidik hati jika tidak dahulu dididik hatinya. Bagaimana nak mengisi jika tidak diisi. Bagaiman mahu berguna pada ummat jika tidak berguna pada diri sendiri.
Tidak perlu nak menuding jari pada orang sekeliling bila melihat dunia hari ini. Cukup lah dengan memerhati diri sendiri. Mengenang kelekaan dan kelalaian di sendiri. Dari hujung rambut hingga hujung jari kaki. Sudah kah segala anggota itu telah di'korban'kan demi dunia? Ya, kita perlu berkorban untuk dunia kerana dunia mazraa' atau tempat menuai kita yang hasilnya akan dikutip di akhirat kelak. Kita mahu dunia dan kita mahu akhirat sebab itu kita berdoa:
ربنا اتنا في الدنيا حسنة و في الاخرة حسنة
Ya Tuhan kami, beri kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
Bermula dari diri sendiri Nur. Majukan diri mu. Bina kekuatan diri dari tiang-tiang ilmu yang berbentengkan iman dan taqwa. Sudah tiba masa untuk si kupu-kupu keluar dari kepompongnya.
Bermula dari diri sendiri Nur. Majukan diri mu. Bina kekuatan diri dari tiang-tiang ilmu yang berbentengkan iman dan taqwa. Sudah tiba masa untuk si kupu-kupu keluar dari kepompongnya.
No comments:
Post a Comment