Bagai buih lautan

2010/08/14
WASHINGTON: Presiden Barack Obama menyokong cadangan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan Islam berhampiran tapak serangan 11 September di New York, projek yang ditentang pihak konservatif dan sebilangan penduduk New York.
“Sebagai warga negara dan sebagai presiden, saya percaya orang
Islam mempunyai hak yang sama untuk mengamalkan ajaran agama sama seperti orang lain di negara ini," katanya dalam ucapan yang akan disampaikan pada majlis yang akan dihadiri diplomat negara Islam dan masyarakat Islam. - ReutersBerita yang menarik perhatian saya!
Akhirnya pembinaan masjid tapak runtuhan WTC dibenarkan meski berhadapan dengan tentangan dari sebilangan golongan.
Saya turut menumpang gembira buat saudara seislam di New York. Tindakan presiden Amerika Barack Obama menyokong projek pembinaan ini sedikit sebanyak membina jambatan barat dengan dunia Islam sekaligus membuktikan pengamalan sistem Amerika yang bebas beragama. Bukan hanya setakat sistem 'atas kertas'.
Namun, ada gusar menjenguk setelah membaca satu komentar dari seorang pembaca berita.
"mudah-mudahan dengan terbinanya masjid NY penduduk Islam dunia cepat mencapai keangka 2 billion"
hmm, bukan gusar kerana semakin ramai penganut Islam. Tetapi gusar seandainya umat Islam hanya menang kuantiti tetapi kurang berkualiti.
Jika kuantiti yang besar diharap menjadi pembangkit kepada kemajuan dunia Islam, untuk alfaqeer... ia adalah tanggapan yang kurang tepat. Mengimbau semula perjuangan para sahabat terdahulu.....
Pada peperangan Badar, peperangan pertama yang mencatat sejarah gah di kitab sirah umat Islam, bilangan muslim ketika itu hanya 313 orang berbanding dengan bilangan pihak lawan yang mencecah seribu orang. Pihak lawan tak bertempur berlenggang kangkong, malah, siap dengan peralatan perang beserta kuda yang dipacu. Hebat. Tapi, tetap kalah.
Sebaliknya, jumlah yang sedikit dari pihak orang Islam lah yang berjaya meraih kemenangan. Sebuah perjuangan yang berbekalkan kekentalan Iman dan ketaqwaan hati.
Termenung lagi al-faqeer.
Kisah Toriq Bin Ziyad datang menjengah. Dengan hanya berjumlah 1700 orang beliau tegar untuk menakluk kota Sepanyol. Jumlah musuh seramai 100 ribu orang bukan penghambat cita-cita nya mengembangkan Islam di kota tersebut. Akhirnya, Allah memberi kemenangan kepadanya dan tenteranya.
" Di belakang kamu lautan dan di hadapan kamu musuh, Di mana lagi kah yang kamu ingin berlari?" -Panglima Toriq
Allahu akbar........ semangat yang membakar semangat setiap yang hidup.
Sedikit kuantiti, tapi cukup berkualiti!
Alfaqeer tertunduk. Malu dengan diri sendiri. Masih membanggakan sejarah Umat terdahulu. Masih memandang ke belakang. Sedang jasad berdiam kaku. Di mana silapnya?
Teringat sabda nabi:
" Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka."
Maka salah seorang sahabat bertanya: Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada waktu itu?
Nabi Sallallahu alaihi wasallam menjawab "Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di lautan. dan Allah akan mencabut rasa gentar kepada kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melempakan kepada kamu penyakit al-wahn"
Seorang sahabat bertanya: Apakah itu al-wahn, ya rasulallah?
Sabda baginda: "Cinta dunia dan takut mati"
(hadis riwayat abi daud dan Ahmad)
Kelu. Ada sebak dalam hati.
......seperti buih di lautan. Bayak tetapi terumbang ambing mengikut arus ombak. Akibat, Cinta dunia. Takut Mati.
Terdiam lagi alfaqeer. Mencari-cari jawapan kearah pembangunan umat. Mencari-cari jalan untuk kembali berdiri 'diatas'. Tidak perlu berfikir panjang. Jawapan di depan mata.
Kembali kepada Al-Quran. Kembali kepada as-Sunnah.




