Nov 14, 2009


Bismillahir Rahmanir Rahim

Allahumma Solli alaa Sayyidina Muhammad wa alaa alihi wa ashabihi ajmain.


SATU PERKONGSIAN


Ramai yang ingin berada di atas tetapi masih belum mulakan pendakian.


Biar saya bercerita hari ini.


"Ada seorang hamba Allah yang tinggal di Indonesia. Dia telah menghantar anak lelaki nya ke Yaman untuk mempelajari ilmu agama dengan harapan bahawa ia dapat menjadi seorang alim besar apabila pulang nanti.


Setelah empat tahun melepaskan anaknya jauh beribu batu untuk menuntut ilmu, dia berasa sudah tiba masa untuk anaknya pulang dan berdakwah kepada masyarakat.


Dia mengadakan kenduri besar-besaran untuk menyambut kepulangan anaknya itu. Ulama termuka telah dijemput khas dan ramai jiran turut menghadiri majlis tersebut.


Ibu ayah..pastinya gembira menyambut kepulangan anak yang disangka akan memimpin masyarakat.


Ketika mendapat arahan ayah nya supaya pulang ke kampung halaman, si anak menjadi saaangat takut dan risau. Empat tahun dia berada di bumi Barakah penuh tarbiyyah itu tidak sedikit pun menjadikannya seorang yang memahami ilmu agama. Masa dan waktunya dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk dirinya dan orang lain. Hendak atau tidak, arahan ayahnya perlu dituruti. Dia pun pulang.


Sewaktu majlis kenduri berlangsung, Syeikh terkemuka itu mendekati anaknya. Beliau terus bertanya kepada anak muda tersebut beberapa perkara mudah tentang agama.


Hairan! Jawapan yang diberikan hanya lah: Aku tidak tahu. Aku tidak tahu. Aku tidak tahu. Lalu Syeikh tersebut memanggil ayahnya dan beritahu kepadanya tentang hal itu.


Anak muda itu membuat pengakuan bahawa sebenarnya sepanjang keberadaannya di Yaman, beliau hanya bermain dan tidak belajar bersungguh-sungguh seperti yang disangkakan ayahnya.


Maka menangislah ayah itu kerana kesedihan yang teramat sangat. Dia menangis dan terus menangis sehingga meninggal dunia disebabkan kesedihan itu."


* * * * * *


Cerita ini saya dengar dari Habib Umar Zin sewaktu menghadiri kelasnya di Hayy 'Ashir. Ketika itu kami sedang mengaji kitab Almanhajus sawiy syarhu Usul Thoriqah saadah Aali Balalwiy yang dikarang oleh Al-Allamah Alhabib Zain bin Ibrahim bin Semait. Sebuah kitab yang membiacarakan tentang adab dan akhlak.


Apabila mendengar cerita ini, hati saya sangat sedih dan sayu. Saya yang hanya mendengar cerita ini sahaja sudah bagai dirobek jantung hati, apalagi jiwa dan hati bapa itu yang kepercayaannya dikhianati anak sendiri...!


Saya takut jika saya tergolong dalam anak seperti itu.


Saya takut jika saya akan terpedaya seperti anak itu.


Saya takut jika saya menjadi pengkhianat ibu bapa sendiri.


Saya tidak rela ibu ayah saya rasa apa yang dirasa ayah itu.


Nauzubillah.


Kisah ini memberi satu pengajaran dan peringatan buat saya. Mungkin juga buat kawan-kawan khususnya yang terbang jauh ke negeri orang dengan niat untuk menuntut ilmu. Bukan sedikit pengorbanan yang dilakukan ibu ayah untuk menghantar kita. Berkorban perasaan dengan ketiadaan anak di sisi mereka dan berkorban wang dan tenaga untuk membiayai kehidupan kita. Pengorbanan yang tiada terkira!


Tujuan hijrah kita adalah untuk menuntut ilmu. Justeru itu, kita harus bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Rebut segala peluang yang Allah beri untuk menuntut ilmu.


Di sini ada peluang. Di sini banyak peluang. Ambil peluang itu.


Masa yang ada juruskan ia pada yang bermanfaat. Bertemankan kitab turast bertingkat-tingkat dan membacanya berkali-kali tidak berguna jika tidak berguru. Jangan sampai kita ingat kita pembawa agama tetapi rupanya penyanggak kepada agama sendiri.


Saya katakan begini bukan sebab saya buat ini. Saya berkata begini bukan untuk orang lain sahaja tetapi khas nya untuk diri yang lemah ini. Yang selalu terlalai dan tersasar dengan matlamat sendiri.


Saya akui, perjalanan menuntut ilmu tidak mudah. Tidak seperti mengira satu dua dan tiga. Ianya penuh onak duri. Imam Syafii, Imam Malik dan para ulama kita yang terdahulu tidak menjadi alim dengan serta merta. Mereka belajar, bertalaqqi mengkaji tanpa penat dan jemu. Kesilapan kita, kita selalu melihat sesuatu itu dari hasilnya. Sedangkan yang sepatutnya, kita perlu lihat permulaan dan proses nya terdahulu


Bila saya kata kita PERLU rajin mengaji tak bermaksud kita JANGAN bermain. Ingin bermain, bermainlah. Tetapi apabila ada majlis ilmu atau perkara-perkara yang dituntut Allah supaya dikerjakan, maka tinggalkan permainan dan sambut seruan.


Aduh...itu kah yang dikatakan: Biar dunia di tangan ku bukan di hati ku..?


Semoga kita terus kuat kawan-kawan.. dalam menghadapi mehnah dan tribulasi duniawi supaya tidak kecundang di pertengahan jalan. Taufik dan Hidayah itu memang milik Tuhan tetapi usaha dan mujahadah itu di pihak kita. Hari ini kita baik, tidak semestinya esok kita akan baik juga. Jangan pernah merasa aman dengan kebaikan yang ada pada diri kita. Dan hari ini jika kita jahat, tidak semestinya esok kita akan jahat juga.


Semoga Allah tetapkan hati kami di jalan yang diredhaiNya:


يا مقلب القلوب والأبصار ثبت قلوبنا على دينك

No comments: