May 28, 2009

Rindu pada 'Usrah' Ahlul Quran




Masih teringat lagi saat-saat saya dan adik beradik yang lain dipimpin ibu ayah ke satu tempat yang dinamakan Masjid Kampung Siglap. Bila ditanya untuk apa ke sana, saya diberitahu bahawa kami akan menyertai kelas menghafaz al-Quran.
Waktu itu, saya masih lagi mentah. Saya baru darjah 5, masih tak mengenal erti tanggungjawab. Akal juga masih asing dengan proses yang dinamakan 'berfikir'.



Setiap pagi Ahad, saya dan adik akan menaiki bas 31 menuju ke Marine Parade. Perjalanan yang agak lama memberi peluang untuk saya menghafal. Ketika itu, hati saya masih bersih, hafalan begitu mudah untuk diingat. Kelas tahfiz berjalan selama 2 jam. Saya, Liyana, 'Afeyah, Fathimah dan Afiqah. Kami berlima memang kawan baik. Kami berlima sentiasa bersama. Mengaji bermain di bawah jagaan guru kami Ustaz Hasbi.





Hari terus berlalu, sehinggalah kami ditukar ke program lain. Kali ini, kami menghafal dari Juz 1. Sayang, walaupun sudah meningkat umur ke 13 tahun, saya masih tidak punya hadaf dalam menghafal. Kenapa saya menghafal al-Quran? Makin beban sahaja! Lagi pula menghafal al-Quran itu sunnah tetapi mengulanginya wajib! saya bukan pelajar rajin. Saya bukan pelajar yang istiqamah dan itqan dalam sesuatu perkara walaupun ianya merupakan tuntutan yang diajar habibina SallaLLAHu alaihi wasallam. Saya menghafal, menghafal bagai ia satu rutin. 2 kali seminggu saya menghadiri kelas dengan hafalan 1 maqra' bagi setiap kali datang.





Semakin hari, kehidupan saya bersama al-Quran semakin indah dengan hadirnya insan se-saff yang punyai satu matlamat dan satu tujuan. Ahlul Quran ditubuhkan. Kami mengadakan pelbagai program dengan usaha untuk merapatkan ukhuwwah. Di sini, saya didedahkan dengan peranan dan tanggungjwab sebagai hamilatul Quran. Ya, di sini baru saya mengenali diri saya. Mereka kata kita hamilatul Quran, pembawa al-Quran. Di bawah bimbingan Ustazah Sakinah dan Ustazah Maryam, kami bersatu. Kami iftar bersama, melakukan aktiviti bersama. Di sinilah saya mengenal erti ukhuwwah. Di sinilah saya mengenal erti erti kasih sayang sesama muslim. Di sini lah saya mendapat kekuatan meneruskan hafal al-Quran kerana saya yakin saya tidak keseorangan dalam menjalani perjuangan ini.




Akan tetapi, satu demi satu ahli keluar meninggalkan kami. Bukan kerana tidak sudi berpimpin tangan menjalani amanah Illahi, tetapi demi satu perjuangan yang suci. Kakak-kakak yang selalu menggerakkan dipanggil mengutip mutiara ilmu di tempat lain. Kesibukan juga telah menghambat saya untuk tidak seaktif dahulu. Benarlah, kadang-kadang tanpa kita sedari, kita selalu menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak perlu untuk disibukkan. Zalika huwal lhusraanul mubeen.



Entah mengapa hari ini, bayangan wajah ustazah-ustazah dan akhawat menari-nari di depan mata. Saya merasakan dada saya sarat dengan kerinduan yang sukar untuk dimanifestasikan. Inilah dia satu ikatan suci yang Allah titipkan pada hati-hati kami hidup merasai mahabbah, salah satu nikmat terbesar yang diberikan untuk kita yang bergelar manusia
.

" Andai aku rindu, biar rinduku bersulam taqwa...."

No comments: