Apr 7, 2010

Cerpen: Nur Sofaa'




















Sekilas ku pandang jam di dinding. Secawan Nescafe cap Bonjorno ku ambil dan disua ke mulut sambil mata tidak lepas dari melihat kitab Syubhat Haulal Hadis yang perlu diselesaikan pembacaannya. Sehelai demi sehelai kertas ku belek dan cuba memahami setiap butir perkataan yang tertera. Sesekali ku capai al-Mawrid di sebelah untuk mencari makna dalam terjemahan Inggerisnya. Aku melihat jam lagi. Sudah dekat pukul 12 pagi. Bayangan seorang adik yang ku tunggu-tunggu belum kelihatan. Tanpa membuang masa, ku ambil handset diatas katil sambil jari ku menari-nari diatas punatnya mencari sebutir nama. Mata ku tertancap pada sebuah nama “Sofaa’”. Lantas, aku segera menekan kekunci call.





"" Al-Raqmul lazi tolabtahu maqful…”. Dengan perasaan sedikit kecewa bercampur risau, aku memutuskan talian. Aku melihat kearah tingkap. Jalan raya masih sesak dengan kenderaan. Bunyi hon bertali arus menghasilkan pencemaran bunyi bagi manusia yang sedang diulit mimpi. Begitulah suasana malam di Medinat an-Nasr. Masih lagi ‘hidup’ meski matahari sudah lama melabuhkan tirainya. Melihat bulan yang dipagari bintang-bintang kecil di dada langit membuat hatiku diterpa rasa sayu. Hati semakin dipagut rasa rindu pada keluarga yang jauh beribu batu. Teringat suara halus ibu sewaktu menghantar ku di Lapangan Terbang Changi setahun yang lalu, “ Ibu percaya anak ibu boleh lakukan, lakukan yang terbaik ye,jaga diri baik-baik. Belajar sungguh-sungguh.”










*tetttt* Bunyi loceng pintu menghentikan lamunanku sekaligus melenyapkan sekudus wajah yang amat dirindui. Aku segera mengesat airmata yang jatuh ke pipi. Lekas-lekas ku susun langkah menuju kearah pintu. “Mein?”. Soalku. “ kita!”. Jelas kedengaran suara halus disebalik pintu yang tertutup itu.



"Aduh! Penatnyaaa…” . Bibir mungil itu mengeluh penat. Ku perhatikan wajah ayunya yang keletihan. Cantik! Hatiku memuji. Segera ku sambungkan dengan kalimah MasyaAllah seperti yang telah diajarkan Rasulullah. Mata ku beralih kepada susuk tubuhnya. Ada sedikit kesal dengan cara pemakaiannya. Baju blaus yang digunakan agak sedikit sendat menampakkan susuk tubuhnya yang langsing. Seluar jeans yang disarungkan pula seperti sarung nangka, hanya bertindak untuk menutupi kulit sahaja. Ketat. Aku hanya menggeleng kepala. Dia perlu dibimbing! Namun, menyedari bahawa aku sedang berurusan dengan manusia, aku mengambil keputusan untuk tidak terus menegurnya.






“ Adik beli apa di City Star? Lama betul jalan..tak ingat akak eh di rumah. Tsk tsk”. Aku pura-pura memuncungkan bibir dan menunjukkan muka simpati. Sofaa’ datang menghampiriku. Dicapainya tangan ku dan cuba memujuk. "Sorry ye kak! Sofaa’ jalan-jalan je tadi. Tak beli apa-apa. Stres lah kak belajar! Saja nak relax relax.”. Aku hanya tersenyum.



Teringat perbualan ku petang tadi dengan seorang lagi adik serumah ku Laila sewaktu aku menyoalnya kenapa tidak menemani Sofaa’. Dia lembut menjawab,” Taknaklah kak, bukan makin relax pergi tempat yang ramai orang macam tu! Makin sakit kepala lagi ada. Lebih baik Laila ikut kakak gi gamek. Boleh jumpa buah hati akak kan?! “. Tercetus ketawa kecil dari bibirku dan ketika itu juga terdengar jeritan kecil Laila sewaktu tanganku hinggap di lengannya. Masih sempat mengusikku dengan perkataan ‘buah hati’.



Aku melepaskan satu keluhan. Aku kembali menatap wajah Nur Sofaa’. Nama yang canti secatik orangnya. Beza sungguh antara Sofaa’ dan Laila! Kedua-duanya sebaya tetapi pemikiran dan cara kehidupan mereka jauh berbeza. “ Oklah dik, akak dah mengantuk ni..jangan tidur lambat ye! Esok kuliyah. Nanti ade je yang head-banging waktu dukturah ajar! “ Kata-kata ku disambut gelak tawanya. “ Macam macam lah akak ni! “



bersambung....



No comments: